EAIC seru tubuh pasukan petugas khas siasat salah laku berskala besar

EAIC seru tubuh pasukan petugas khas siasat salah laku berskala besar

Pengerusi Ismail Bakar berkata kewujudannya bagi elak pembaziran masa siasat kes berkepentingan awam.

Tan Sri Dr Ismail Bakar
Pengerusi EAIC Ismail Bakar, berkata pasukan petugas khas dicadangkan ada kuasa lebih besar kerana turut libat badan penguasa seperti SPRM dan polis.
KUCHING:
Pasukan petugas khas perlu diwujudkan bagi menangani pelbagai isu serius melibatkan salah laku dan integriti dengan lebih berkesan, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Ismail Bakar.

Beliau berkata, pasukan petugas khas ini boleh diwujudkan di bawah Akta 700 yang melibatkan pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, dan lain-lain menyiasat salah laku berskala besar serta mempunyai kepentingan awam.

“Siasatan yang dilakukan secara bersepadu, menyeluruh, dan terbuka ini akan mengelak pembaziran masa serta membolehkan tindakan tegas diambil untuk menghentikan ketirisan dan salah laku.

“Jangan menganggap tujuan EAIC ini hanya menyusahkan, sebenarnya kita juga menyiasat tohmahan terhadap mereka (pegawai penguat kuasa berintegriti tetapi dituduh melakukan salah guna kuasa),” katanya.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Encouraging Responsibility Accountability Trustworthiness (Erat) EAIC Bersama Penguat Kuasa, Mahasiswa dan Masyarakat oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang di Kota Samarahan.

Ismail berkata, pasukan petugas itu mempunyai kuasa lebih besar menyiasat dengan telus dan lebih berintegriti untuk memastikan setiap aduan mempunyai merit, sama ada untuk dibuat penambahbaikan ataupun apa-apa tindakan perundangan yang sewajarnya.

EAIC merupakan sebuah badan berkanun persekutuan ditubuhkan melalui Akta Parlimen di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) yang diwartakan pada 3 Sept 2009 dan mula berkuat kuasa pada 1 April 2011.

Penubuhan EAIC selaras dengan sasaran kerajaan untuk menyemai dan meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan demi memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.