22 calon SPM sakit perut, muntah selepas sarapan di resort

22 calon SPM sakit perut, muntah selepas sarapan di resort

Kejadian semalam melibatkan pelajar SMK Guntong yang mengikuti Kem Anakku Cemerlang di sebuah resort di Setiu.

Pelajar yang mengalami gejala keracunan makanan dihantar ke Hospital Setiu dan Klinik Kesihatan Permaisuri untuk mendapatkan rawatan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sebanyak 22 pelajar sebuah sekolah menengah di Setiu sakit perut dan muntah-muntah, disyaki keracunan makanan, selepas bersarapan di sebuah resort semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong, berkata kejadian kira-kira 8 pagi itu melibatkan calon SPM SMK Guntong yang sedang mengikuti Kem Anakku Cemerlang di tempat peranginan dalam daerah Setiu itu.

Beliau berkata, pada mulanya, lapan pelajar mengadu sakit perut dan muntah-muntah lalu dikejarkan oleh guru bertugas ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

“Tidak berapa lama kemudian dua lagi pelajar turut mengadu sakit perut dan dihantar ke Klinik Kesihatan Permaisuri untuk rawatan, diikuti 12 lagi pelajar yang menunjukkan gejala keracunan makanan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, susulan pegawai Pejabat Kesihatan Setiu hadir ke resort itu untuk membuat pemeriksaan dan mengambil sampel makanan berkaitan.

Katanya, seorang pelajar ditahan di wad untuk rawatan lanjut manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.

Kes  diserahkan kepada pejabat kesihatan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.