10 ditahan menyamar polis, larikan motosikal

10 ditahan menyamar polis, larikan motosikal

Polis berkata dua lelaki tempatan berusia 18 dan 21 tahun membuat laporan mendakwa disamun empat anggota polis dekat Restoran Jejantas Sungai Buloh Julai lalu.

S Sasikala Devi
Timbalan Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi dalam sidang media di IPD Petaling Jaya hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepuluh lelaki ditahan disyaki terbabit kes menyamar anggota polis, menyamun penunggang motosikal dan melarikan kenderaan mangsa di Lebuhraya Utara-Selatan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata dua lelaki tempatan berusia 18 dan 21 tahun membuat laporan mendakwa disamun empat anggota polis dekat Restoran Jejantas Sungai Buloh Julai lalu.

Menurutnya, kumpulan itu menyasarkan penunggang motosikal, terutama pada lewat malam dan awal pagi.

“Mereka akan menahan dan merampas kunci kenderaan mangsa, lalu memperkenalkan diri sebagai anggota polis yang kononnya mahu membuat pemeriksaan,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPD Petaling Jaya.

Beliau berkata, 10 individu berusia 25 hingga 39 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Petaling Jaya pada 5 pagi 20 Okt lalu, manakala tujuh motosikal, sebuah enjin dan rangka motosikal dirampas.

Katanya, tujuh suspek memiliki 26 rekod jenayah dan 10 rekod kesalahan dadah, manakala ujian air kencing dua suspek positif dadah.

“Permohonan reman ke atas semua suspek dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 397/170 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menyarankan orang ramai meminta kad kuasa polis, jika ditahan atau terus ke balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.