Penunggang motosikal parah dilanggar pemandu mabuk, lawan arus

Penunggang motosikal parah dilanggar pemandu mabuk, lawan arus

Mangsa berusia 20-an yang dipercayai tercampak akibat rempuhan, cedera parah pada anggota badan dan kaki kanan.

Ketua Polis Klang Selatan Lim Jit Huey berkata mangsa dirawat di zon merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, manakala pemandu kereta hanya mengalami luka ringan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal parah akibat dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk dan melawan arus di Persiaran Kota, Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, lelaki tempatan berusia 20-an yang dipercayai tercampak akibat rempuhan, cedera parah pada anggota badan dan kaki kanan.

Ketua Polis Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata lelaki tempatan berusia 30-an memandu Perodua Bezza dari arah Pelabuhan Klang menghala Shah Alam.

“Kereta itu dipercayai melawan arus sejauh kira-kira 3.5km sebelum merempuh motosikal mangsa yang sedang bergerak di laluannya,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa dirawat di zon merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, manakala pemandu kereta hanya mengalami luka ringan.

Menurutnya, ujian saringan awal mendapati pemandu kereta itu positif alkohol dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tujuh hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000, selain lesen memandu digantung.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.