Status Islam anak: Loh fail afidavit bantah permohonan semakan Perlis

Status Islam anak: Loh fail afidavit bantah permohonan semakan Perlis

Peguam mewakili ibu tunggal itu, A Srimurugan berkata, afidavit difailkan hari ini.

Loh Siew Hong
Pada 10 Jan lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama tiga anak Loh Siew Hong kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu.
PUTRAJAYA:
Ibu tunggal Loh Siew Hong menfailkan afidavit membantah permohonan kerajaan Perlis untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini berhubung status agama Islam tiga anaknya.

Peguamnya, A Srimurugan yang mengesahkan perkara itu berkata, afidavit berkenaan difailkan hari ini.

Pada 30 Okt, kerajaan Perlis memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan agar mahkamah mengetepikan keputusannya sebelum ini, yang menolak kebenaran merayu yang difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.

Kerajaan negeri menyatakan bahawa keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini menjejaskan haknya untuk didengar, dan meminta agar permohonan kebenaran merayu didengar semula.

Permohonan yang ditolak pada 14 Mei lepas itu menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pendaftar mualaf Perlis dan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Jan.

Pada 10 Jan lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama tiga anak Loh kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu.

Pada 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Loh untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Loh, 37, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya M Nagahswaran, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan pendaftar mualaf Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.