
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata inisiatif ini bertujuan menjadikan bahasa alat menghubungkan rakyat dan mewujudkan perpaduan, keharmonian, serta jati diri kebangsaan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.
“Bahasa tidak hanya berperanan sebagai elemen asas pembinaan sesebuah bangsa, tetapi juga penting dalam menyampaikan nilai-nilai murni bagi membentuk bangsa yang berakhlak dan beretika.
“Pada masa akan datang, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) boleh menganjurkan program seperti Festival Puisi Rakyat dengan mengundang penyair daripada pelbagai etnik dan bahasa untuk mendeklamasikan puisi,” katanya dalam ucapan perasmian Sanggar Puisi Perpaduan.
Beliau berkata selain puisi bahasa Melayu, puisi dalam bahasa Tamil, Mandarin dan Iban boleh dibacakan dalam satu platform dengan penterjemahan atau penerangan supaya mesej sampai kepada semua.
“Ini akan memberikan penghargaan kepada keindahan bahasa masing-masing di samping menggalakkan perpaduan.
“Kementerian, melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara pada 20 Nov tahun lepas, mencadangkan agar PNM bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menganjurkan program yang berteraskan bahasa dan sastera, termasuk penulisan novel dan puisi,” katanya.
Beliau berkata Pertandingan Sayembara Novel yang dianjurkan oleh PNM sejak 15 Mei lalu, bersama penganjuran program hari ini, dilihat sebagai inisiatif yang mampu mempromosikan nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
“Saya menyambut baik dan berharap usaha PNM melalui program ini akan menjadi platform untuk membangkitkan minat dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, dan budaya,” katanya.