Mahkamah Narathiwat tolak ikat jamin 6 warga Malaysia

Mahkamah Narathiwat tolak ikat jamin 6 warga Malaysia

Semua suspek termasuk penyanyi dikir barat dari Kelantan ditahan 84 hari sementara menunggu tarikh pendakwaan.

dadah sungai golok
Jumaat lalu, enam warga Malaysia berusia 25 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah hotel dekat Sungai Golok.
NARATHIWAT:
Mahkamah Narathiwat menolak permohonan ikat jamin bagi semua enam warga Malaysia, termasuk seorang penyanyi dikir barat dari Kelantan yang direman semalam kerana disyaki memiliki dadah.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Bahagian Siasatan Balai Polis Sungai Golok, Hafit Mad-asin kepada wartawan.

“Bagi siasatan melibatkan warga asing yang melibatkan jumlah dadah yang besar, mahkamah tidak akan membenarkan suspek-suspek diikat jamin kerana dikhuatiri mereka akan melarikan diri,” katanya.

Semua dadah ditemukan di bilik hotel telah dihantar ke makmal Pusat Forensik di Yala untuk ujian DNA bagi mengenal pasti jenis dadah serta pemiliknya, sebelum diserahkan kepada kepada pendakwa raya untuk menentukan tarikh pendakwaan di mahkamah, katanya.

Menurut Hafit, semua suspek akan ditahan di Penjara Narathiwat selama 84 hari atau kira-kira tiga bulan, sementara menunggu tarikh pendakwaan.

Pada Jumaat lalu, enam suspek warga Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun telah ditahan dalam serbuan Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok sekitar 5 pagi, atas kesalahan memiliki dadah.

Hasil siasatan polis mendapati suspek berkenaan disyaki memiliki 6,000 biji pil jenis “pil kuda” dan turut melakukan kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.