
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin mengeluarkan perintah reman sehingga 10 Nov itu di Mahkamah Majistret Kemaman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut sumber, suspek berusia 50-an itu ditahan ketika hadir di pejabat SPRM pada 2.45 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada April lalu dan seramai 50 penerima yang tersenarai telah menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.
“Suspek telah menerima dana zakat tersebut daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini, di mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ,” kata sumber terbabit.
Sumber itu berkata, suspek ditangkap bersama isterinya yang didakwa turut tersenarai sebagai antara penerima zakat berkenaan.
Bagaimanapun, isterinya dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.