Yuran tadika, taska dijangka naik: kerajaan disaran pertimbang bantuan

Yuran tadika, taska dijangka naik: kerajaan disaran pertimbang bantuan

Kerajaan disaran pertimbang pertimbang pemberian kupon atau bantuan tunai bulanan kepada ibu bapa.

Pemilik pusat jagaan kanak-kanak dijangka menaikkan kadar yuran antara 15% hingga 30% bermula tahun hadapan susulan peningkatan kadar gaji minimum. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan disaran pertimbang pemberian kupon atau bantuan tunai bulanan kepada ibu bapa untuk meringankan kos penjagaan kanak-kanak, terutama di kawasan bandar.

Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengajukan saranan itu berikutan kebimbangan sesetengah pihak mengenai kesan gaji minimum baharu ke atas pengusaha taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak.

Syerleena Abdul Rashid.

“Ditambah pula dengan laporan baru-baru ini yang menjangkakan kenaikan yuran tadika dan taska antara 20% hingga 25% tahun depan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pemilik pusat jagaan kanak-kanak dijangka menaikkan kadar yuran antara 15% hingga 30% bermula tahun hadapan susulan peningkatan kadar gaji minimum, menurut Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia, Simon Ng.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji minimum baharu iaitu RM1,700 berbanding RM1,500 pada masa ini ketika membentangkan Belanjawan 2025, berkuat kuasa Februari.

Kerajaan memberi penangguhan enam bulan kepada majikan yang mempunyai kurang lima pekerja, dengan pelaksanaan bermula 1 Ogos.

Sementara itu, Syerleena menggesa kerajaan pertimbang dengan serius untuk menambah lebih banyak taska mampu milik miliknya, seperti taska dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) bawah Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), dan Tabika Perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

“Ekosistem sudah wujud. Jadi tiba masanya untuk kerajaan melalui kementerian untuk menambahbaikkan lagi sistem yang sedia ada untuk manfaat keluarga Malaysia,” katanya.

Tanpa tindakan proaktif, Syerleena berkata peningkatan yuran berpotensi untuk mendorong ibu bapa menghantar anak-anak ke taska yang tidak berdaftar ataupun yang tidak mematuhi peraturan yang ketat.

“Ini meningkatkan risiko penderaan serta kecuaian terhadap kanak-kanak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.