Sindiket kerja sambilan, guru rugi lebih RM80,000

Sindiket kerja sambilan, guru rugi lebih RM80,000

Wanita berusia 57 tahun itu buat 13 transaksi bayaran sebelum sedar ditipu.

Polis Jempol berkata sindiket penipuan pekerja sambilan tidak wujud menjadikan Facebook dan Telegram bagi mencari mangsa.
JEMPOL:
Guru mengalami kerugian RM80,111 selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan tidak wujud di sebuah laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook, berkata wanita berusia 57 tahun itu mulanya berminat dengan satu tawaran pelaburan digital ketika melayari Facebook 8 Sept lalu di Batu Kikir.

Beliau berkata, guru itu kemudiannya berurusan dengan seorang individu melalui Telegram, yang mengarahkan wanita berkenaan membuka satu akaun digital untuk semakan keuntungan, selain perlu selesaikan beberapa tugasan bagi mendapatkan keuntungan.

“Bagaimanapun wanita itu perlu membuat beberapa pembayaran bagi meningkatkan jumlah mata hasil kerja tugasan. Guru wanita itu kemudian membuat 13 transaksi ke pelbagai akaun bank yang diberikan hingga mengalami kerugian RM80,111,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ibu lima anak itu telah membuat transaksi terakhir RM5,000 pada 30 Okt sebelum sedar telah ditipu dan membuat laporan polis pada keesokan harinya.

Hoo berkata, setiap kali pengadu meminta mahu mengeluarkan wang, suspek memberikan pelbagai alasan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.