
Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mazanan Sinin.
Sinar Harian melaporkan, Arif Fahmi dan Nur Adila juga dikenakan denda masing-masing RM5,000.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama dituduh memandu kenderaan bas nombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam.
Perbuatan itu dilakukan pada Ahad lalu sekitar 7.30 malam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Jasin, Melaka.
Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Nur Adila turut didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang wanita berusia 44 tahun sehingga mengganggu ketenteraman mangsa.
Kesalahan itu dilakukan pada hari sama kira-kira 6 petang di dalam bas berkenaan ketika susur keluar dari R&R Bemban arah selatan, di daerah Jasin.