‘Gelombang keluar parti’ akibat tak puas hati pemilihan Bersatu ‘diatur’, kata penganalisis

‘Gelombang keluar parti’ akibat tak puas hati pemilihan Bersatu ‘diatur’, kata penganalisis

Kewujudan 'kem-kem' dalam parti serta kepimpinan presiden yang dilihat lemah turut dikatakan menjadi faktor.

ppbm bersatu
Terdahulu timbul desas-desus bahawa terdapat dua kem dalam Bersatu, masing-masing berpihak kepada Azmin Ali dan Hamzah Zainudin, mencetuskan perpecahan dalaman.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat, unsur ‘aturan’ kepimpinan tertinggi yang ketara dilihat dalam pemilihan Bersatu kali ini mendorong rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi memuncak, sehingga berlaku ‘gelombang keluar parti’.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata, rasa tidak puas hati itu mula wujud apabila jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, sekaligus masing-masing terus disandang Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin.

“Perwakilan atau akar umbi (Bersatu) tak puas hati kerana tidak diberi kemudahan atau laluan untuk buat pilihan dua jawatan tertinggi itu. Sebaliknya mereka hanya dibenarkan pilih naib presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sayap sahaja.

“Juga timbul kemelut akibat pertembungan dua kem (Hamzah dan Azmin Ali) yang masing-masing ingin meletakkan calon sendiri bagi jawatan tertentu,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, kegagalan Muhyiddin mengurus dan memimpin parti ke arah lebih baik memudarkan semangat akar umbi, khususnya berkait demokrasi parti.

Dalam pada itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, selain kewujudan ‘kem-kem’ tertentu, kegagalan pembangkang mencapai memorandum persefahaman dengan kerajaan juga mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti.

“Selain itu, kelemahan pembangkang mewujudkan semak imbang yang baik bagi kerajaan turut menyebabkan ketidakpuasan hati,” katanya.

“(Ahli-ahli) mungkin merasakan pembangkang lemah dan tidak dapat menjamin kelangsungan perjuangan di masa depan, mendorong mereka keluar parti dan mencari wadah baru.”

Semalam, Bersatu Tenggara didakwa terbubar serta-merta susulan keputusan ketua dan 30 ahlinya, termasuk 15 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu keluar parti.

Bekas ketua bahagian itu, Hassan Rasid berkata, keputusan itu dibuat kerana mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi yang dilihat gagal menguruskan parti, selain tidak telus melaksanakan tanggungjawab.

Tindakan ini menyusuli tindakan bekas bendahari Bersatu Pahang Roslan Hassan yang mengumumkan keluar parti bersama 40 ahli lain atas alasan sama pada Jumaat lepas.

Terdahulu timbul desas-desus bahawa terdapat dua kem dalam Bersatu, masing-masing berpihak kepada Hamzah dan Azmin.

Perpecahan dalaman akibat kewujudan dua kem itu menjadi ketara apabila berlaku protes dalam sayap Pemuda selepas Adun Gombak Setia Hilman Idham menang jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.