Pengurus syarikat rugi RM450,000 terpedaya pelaburan tak wujud

Pengurus syarikat rugi RM450,000 terpedaya pelaburan tak wujud

Ken Wong antara 10 mangsa yang rugi lebih RM3 juta selepas tertipu dengan sindiket yang berselindung di sebalik syarikat pelaburan UK.

Mangsa, Ken Wong (duduk, dua dari kiri) bersama Pengasas PKIPIN Joseph Prakash pada sidang media di Puchong hari ini.
PUCHONG:
Seorang pengurus syarikat kewangan kerugian lebih RM450,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud sejak Julai.

Beliau antara 10 individu berusia antara 40 tahun hingga 60 tahun yang mengalami kerugian berjumlah lebih RM3 juta selepas tertipu dengan iklan pelaburan saham di platform media sosial, kononnya membabitkan syarikat pelaburan berpangkalan di United Kingdom (UK).

Mangsa, Ken Wong, 40, berkata beliau tertarik dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan jutaan ringgit lalu melakukan 23 transaksi pembayaran ke dua akaun syarikat sendirian berhad dalam tempoh dua bulan bermula Julai.

Katanya, walaupun berpengalaman dalam bidang kewangan, modus operandi licik syarikat itu menggunakan platform pelaburan dan aplikasi berdaftar dengan Google Play Store menyebabkan beliau dan rakan-rakannya tertipu.

“Bermula daripada Facebook, menggunakan nama syarikat Pantheon Ventures, mereka akan masukkan (mangsa) ke dalam kumpulan sembang Whatsapp Group, di mana mangsa akan diajar selok-belok ilmu dagangan saham,” katanya pada sidang media di Puchong.

Wong berkata, beliau mula curiga dengan kegiatan syarikat pelaburan itu selepas diminta membayar tambahan RM1.7 juta sebagai langganan Infrastructure Processing Unit (IPU) untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan.

Susulan itu, beliau bersama rakan lain membuat laporan polis pada Ogos, namun mendakwa tiada tindakan lanjut sehingga kini.

Wong mendakwa, beliau turut melaporkan penipuan syarikat itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), juga tiada tindakan susulan.

“Kami pelik bagaimana syarikat sendirian berhad yang berdaftar dengan SSM boleh menjadi akaun keldai dan mengapa sehingga kini akaun syarikat ini masih aktif?” soalnya.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPIN) Joseph Prakash mempersoalkan kebebasan skim penipuan dalam talian itu beroperasi di media sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis menyiasat aduan mangsa-mangsa yang sehingga kini masih berharap wang mereka dapat dikembalikan.

“Mengecewakan kerana laporan polis sudah dibuat, dan aduan turut dipanjangkan ke agensi berwajib, namun masih tiada tindakan agresif daripada pihak berkuasa.

“Kami minta agar ‘scammer’ yang sedang berleluasa di media sosial ini disekat terus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.