3,000 sertai ‘PTPTN Run’

3,000 sertai ‘PTPTN Run’

Program berorientasi riadah dianjur bagi menggalakkan gaya hidup sihat.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid (hadapan dua dari kiri) disertai dif kehormat bergambar bersama pemenang Cabutan Bertuah PTPTN Run 2024 memenangi motosikal Modenas Kriss MR3. (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Seramai 3,000 peserta menyertai Larian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 2024 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Program larian berkonsepkan ‘fun run’ melibatkan jarak sejauh tiga, lima, dan tujuh kilometer menerusi kategori kanak-kanak, dewasa, dan warga emas.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata acara larian berorientasi riadah diadakan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, yang diyakini dapat memberi kesan positif baik dari aspek fizikal, mental, dan emosi.

“Besar harapan saya, program larian ini dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti sihat, sekali gus dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan membangunkan produktiviti negara.

“Selain itu, pelbagai aktiviti turut diadakan semasa PTPTN Run 2024 ini berlangsung. Antaranya, senamrobik, slot kuiz PTPTN, pembukaan booth PTPTN, dan acara cabutan hadiah dengan 10 hadiah lumayan berjumlah RM10,000 menanti peserta,” katanya dalam kenyataan.

Program ‘PTPTN Run 2024’ dimulakan dengan pelepasan kayuhan basikal melibatkan 200 orang peserta anjuran DBKL dan pelepasan peserta larian disempurnakan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Ruji Ubi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Koperasi Pusat Pungutan Zakat (KoPPZ) Khairulazhar Samsudin dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Penganjuran larian itu bukan sahaja antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada masyarakat dalam membudayakan amalan hidup sihat melalui sukan untuk semua, malah sebagai penghargaan kepada pelanggan tidak jemu memberi sokongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.