
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata, semua peminjam itu dikesan tidak pernah membuat sebarang pembayaran balik kepada PTPTN walaupun diketahui kebanyakan daripada mereka berkerjaya.
Katanya, jumlah pinjaman yang tidak dibayar semula itu sentiasa meningkat saban tahun dan ia sememangnya memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan PTPTN.
“Bagi pihak saya, ini suatu tanggungjawab moral yang perlu dilunaskan oleh para peminjam kerana wang yang dibayar itu akan digunakan oleh PTPTN untuk membantu generasi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN hari ini.
Terdahulu, Zambry menyempurnakan penyerahan WPP berjumlah RM322,500 kepada 215 pelajar yang layak dalam Parlimen Lumut dan Beruas.
Hadir sama, Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Zambry berkata, ketika ini PTPTN juga merancang mengambil tindakan perundangan terhadap mereka yang masih gagal melunaskan pinjaman.
“Saya dimaklumkan oleh pihak PTPTN berkaitan perkara ini, namun perincian berkaitan penguatkuasaan itu dalam proses untuk dimuktamadkan.
“Cuma pada ketika ini, kita masih berhemah dan tidak akan tutup pintu rundingan jika ada yang ingin melunaskannya (hutang),” katanya.
Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, seramai 980,120 pelajar telah menerima manfaat melalui WPP hingga 31 Ogos 2024, dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion sejak diperkenalkan pada 1999
Menurutnya, inisiatif yang diwujudkan melalui WPP itu secara dasarnya bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar yang berjaya meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), politeknik dan kolej komuniti.
“PTPTN mengharapkan WPP ini digunakan sebaiknya oleh para pelajar untuk melunaskan bayaran yuran, barangan keperluan semasa di universiti serta perkara lain yang difikirkan sesuai,” katanya.