PTPTN anjur program bersih Pantai Cherating

PTPTN anjur program bersih Pantai Cherating

Program CSR itu dijayakan dengan kerjasama Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia.

Program membersihkan Pantai Cherating anjuran PTPTN bersama Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia hari ini dijayakan 150 orang peserta, antaranya terdiri daripada penuntut Unipsas dan Polisas, NGO, wakil pihak berkuasa tempatan, kakitangan PTPTN dan rakan media.
(Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat julung kalinya menganjurkan program pembersihan pantai di Pantai Cherating, Pahang, hari ini, dengan kerjasama Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia, sebagai sebahagian komitmennya terhadap usaha memulihara alam sekitar.

Program sehari yang merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) perbadanan itu melibatkan 150 orang peserta, terdiri daripada penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (Hawa), wakil Majlis Bandaraya Kuantan, para pegawai PTPTN serta rakan-rakan media.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, program CSR ini bertujuan menerapkan nilai kecintaan terhadap alam sekitar dan memupuk kesedaran peserta dan komuniti terhadap pentingnya menjaga alam sekitar, sekali gus menyahut seruan kerajaan bagi mengekalkan alam sekitar.

“Program ini bukan sahaja bertujuan membersihkan kawasan pantai tetapi juga untuk menanamkan kesedaran tentang tanggungjawab kita terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

“Kami yakin bahawa inisiatif ini akan memberi impak positif kepada masyarakat dan juga alam sekitar, seterusnya mengaplikasikan nilai murni tersebut dalam kehidupan seharian.”

Program hari ini disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, dan turut dihadiri Adun Pulai Sebatang Hasrunizah Hassan dan Pengurus Besar Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia Abdul Rahman Ahmad.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, program sebegini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan strategik PTPTN dengan agensi-agensi terlibat sekali gus meningkatkan imej positif PTPTN dalam kalangan masyarakat.

“PTPTN terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR untuk pembangunan masyarakat selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’ dan slogan CSR, ‘PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.