PRN Sabah: Tak dapat kerjasama BN, penganalisis jangka Warisan tanding solo

PRN Sabah: Tak dapat kerjasama BN, penganalisis jangka Warisan tanding solo

Sebelum ini, Warisan diuar-uarkan bakal bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN untuk berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Shafie Apdal berkata Warisan mahu lihat kepada kedudukan dan kekuatan sebelum memutuskan mahu bertanding di semua 73 DUN pada PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Penganalisis menjangkakan Warisan akan bertanding solo pada PRN Sabah selepas ‘rakan potensinya’ Barisan Nasional (BN) dilihat bakal bersama Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sebelum ini parti diketuai Shafie Apdal itu diuar-uarkan bakal bekerjasama dengan BN, namun minggu lalu Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata komponen itu sudah memuktamadkan kerjasama dengan PH, selain tidak menolak kemungkinan bersama GRS.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah berkata walaupun Warisan berdepan gandingan tiga gabungan besar, kelebihan bertanding solo membolehkannya meletak calon secara bebas tanpa ada konflik.

“Lebih mudah tentukan kerusi ingin ditandingi, mewujudkan satu pakatan mungkin satu pilihan tetapi bergantung kesediaan parti untuk bekerjasama atau sebaliknya.

“Mengambil kira situasi yang agak ‘fluid’, parti-parti ini nampak cenderung bertanding solo,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, Shafie dilaporkan berkata Warisan akan mempertahankan 23 kerusinya disandangnya kini pada PRN Sabah yang dijadualkan tahun depan.

Namun beliau menjelaskan parti itu belum memutuskan sama ada mahu bertanding di semua 73 DUN kerana mahu melihat kepada kedudukan, kekuatan dan kebolehan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Parti Kesejahteraan Demokratik Rakyat mengumumkan parti itu akan bertanding solo di Sabah walaupun menyokong pentadbiran kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah pula berkata parti tempatan seperti Warisan dan KDM mungkin cenderung tidak bersama dalam gabungan PH-BN-GRS kerana tidak mahu berdepan risko kehilangan sokongan akar umbinya.

“Menyertai pakatan besar itu mungkin memberikan mereka pengaruh dalam kerajaan negeri tetapi risikonya hilang identiti serta sokongan akar umbi yang mahu menjadi suara alternatif di Sabah.

“Jika mereka memilih membentuk blok pembangkang, boleh jadi kuasa semak dan imbang yang kuat dan mengekalkan imej sebagai parti tempatan benar-benar memperjuangkan hak dan isu-isu orang Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.