Kes amang seksual budak naik 21.1% tahun lalu

Kes amang seksual budak naik 21.1% tahun lalu

Statistik Kanak-kanak Malaysia 2024 menunjukkan kesalahan amang seksual bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak merekodkan 91 kes serta 67 kes tahun lalu.

abuse
Statistik Kanak-kanak Malaysia 2024 menunjukkan kesalahan amang seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak mencatatkan 1,389 kes tahun lalu berbanding 1,147 kes pada 2022. (Gambar Freepik)
PUTRAJAYA:
Kesalahan amang seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak pada 2023 mencatatkan peningkatan 21.1%, iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022, kata Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan sempena penerbitan Statistik Kanak-kanak Malaysia 2024, beliau berkata, kesalahan amang seksual bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-masing merekodkan 91 kes serta 67 kes tahun lalu.

Bagi kanak-kanak terbabit jenayah, jumlah kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada polis meningkat 26.5% tahun lalu kepada 1,567 kes berbanding 1,239 kes pada 2022.

“Daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2023 meningkat 26.1% kepada 8,536 kanak-kanak berbanding 6,770 kanak-kanak pada 2022.”

Menurutnya, berdasarkan statistik anggaran penduduk 2024, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun seramai 9.14 juta, iaitu 26.9% daripada jumlah penduduk Malaysia seramai 34.06 juta.

“Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun masing-masing ialah 4.72 juta serta 4.42 juta. Kanak-kanak merupakan aset negara bagi penyambung nadi pembangunan negara pada masa depan.”

Beliau berkata, dari segi tahap kesihatan kanak-kanak, “certain conditions originating in the perinatal period” kekal menjadi sebab kematian utama yang disahkan secara perubatan bagi kanak-kanak kurang daripada lima tahun pada 2023.

Dari aspek pengambilan pelalian, liputan bagi semua jenis pelalian kepada bayi semakin baik pada 2023.

Hepatitis B mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 10.6% kepada 107.7% berbanding 97.1% pada 2022, katanya.

Penerbitan Statistik Kanak-kanak Malaysia 2024 boleh dimuat turun secara percuma menerusi portal Jabatan Perangkaan (www.dosm.gov.my).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.