Bimbang musuh tahu, ‘YB Hulk’ masih rahsia jawatan ditandingi

Bimbang musuh tahu, ‘YB Hulk’ masih rahsia jawatan ditandingi

Norhizam Hassan Baktee menawarkan diri bertanding salah satu jawatan di Bersatu Hang Tuah Jaya kecuali ketua.

Norhizam Hassan Baktee
Norhizam Hassan Baktee gagal pertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu pada PRN Melaka 2021.
PETALING JAYA:
Bekas Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee masih enggan mendedahkan jawatan bakal ditandingginya pada pemilihan Bersatu Hang Tuah Jaya, esok dengan alasan tidak mahu diketahui ‘musuh’.

Biarpun belum berbuat demikian untuk berkempen seperti lazimnya dibuat calon lain, bekas exco Melaka itu yakin mampu menang kerana mempunyai strategi betul serta berdasarkan penerimaan baik ahli Bersatu di bahagian terbabit.

“Saya pergi ke cawangan-cawangan (Hang Tuah Jaya), penerimaan sangat baik.

“Kita kalau nak beli barang pun pilih produk baik. Bukan kata saya bagus (tetapi) semua (orang) boleh nilai kerja saya dari dulu sampai sekarang,” katanya yang terkenal dengan jolokan ‘YB Hulk’ dan ‘YB Viral’ kepada FMT.

Menurut Norhizam, jawatan bakal ditandingginya itu hanya akan diketahui Ahad ini iaitu ketika beliau mengumumkan ‘kemenangannya’.

“Sekarang tidak boleh (umum). Pihak musuh akan mula main (isu nanti).. sebab dalam pemilihan bukan tidak tahu (macam mana).

“Nak tahu esok selepas pertandingannya, Ahad pagi saya akan buat sidang media, jawatan saya bertanding dan apa saya menang,” katanya yang kalah pada PRN Melaka 2021 di atas tiket bebas di Pengkalan Batu.

Sebelum ini, media melaporkan bekas pemimpin DAP Melaka itu mengesahkan bertanding pemilihan Bersatu Hang Tuah Jaya, namun bukan kerusi ketua yang tidak dipertandingkan.

Norhizam berkata keputusannya bertanding pada pemilihan Bersatu kerana mahu membantu orang Melayu yang didakwanya masih jauh ketinggalan dari bangsa lain.

“Kita tengok orang Melayu hari ini susah, jauh ketinggalan. Berdiri tak sama tinggi dan duduk tak sama rendah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.