
Seminggu sebelum pemilihan Bersatu, bekas pemimpin DAP Melaka dan Umno itu mengesahkan bertanding di Bahagian Hang Tuah Jaya, namun enggan mendedahkan jawatan ditandinginya dengan alasan tidak mahu diketahui ‘musuh’.
Semakan FMT di Facebook rasmi Bersatu Hang Tuah Jaya mendapati Norhizam yang popular dengan julukan ‘YB Hulk’ dan ‘YB Viral’ tidak berada dalam senarai penuh jawatankuasa Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya penggal 2024-2027 dimuat naik semalam.
Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya dimenangi Mohd Azrudin Md Idris manakala timbalan dimenangi Jaffri Ibrahim. Seramai 10 ahli jawatankuasa turut dilantik pada pemilihan itu.
Sebelum ini, FMT melaporkan bekas exco Melaka itu yakin menang pada pemilihan berdasarkan penerimaan baik ahli Bersatu bahagian berkenaan.
Beliau dilaporkan hanya akan memaklumkan jawatan ditandinginya, semalam, bersama dengan pengumuman ‘kemenangannya’ namun tiada khabar sehingga hari ini.
FMT sedang mendapatkan Norhizam untuk pengesahan.