
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata kerugian sebanyak RM43.9 juta daripada penjualan pegangan minoriti mereka dalam syarikat fesyen dalam talian, Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet), perlu menjadi iktibar dalam memilih pelaburan pada masa depan.
Menurutnya, Khazanah dan PNB selepas ini perlu memastikan pegawai bertanggungjawab ke atas portfolio pelaburan membuat keputusan secara objektif tanpa dipengaruhi pihak lain, selain tidak terlalu fokus pada bidang tertentu.
“Walaupun tiada keperluan untuk mereka fokus kepada bidang tertentu, namun wajar lihat potensi dari sektor pertanian yang mampu memberi pulangan tinggi.
“Sektor agrimakanan berpotensi tinggi dan dapat membantu memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya kepada FMT.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet, kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners, pada 2023.
Angka itu berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet.
Zulkifly Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata penilaian perlu perhatikan aspek sosial dan kesejahteraan umum, dan bukan hanya aspek ekonomi bagi mengelak pelaburan rugi.
“Penilaian terhadap pilihan tindakan pelaburan dan kejayaannya harus melihat semua aspek ini.
“Memang luas dan sukar untuk menilainya…tambahan lagi apabila wujud kekurangan maklumat dan tidak kesemuanya tersurat,” katanya.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Ahmad Yazid Othman berpandangan Khazanah dan PNB perlu fokus pada pelaburan di sektor strategik dengan kesan jangka panjang.
Menurutnya, pihak terbabit perlu alih perhatian kepada sektor kritikal yang memberi impak, termasuk agenda memperkasa agenda Bumiputera.
“Selain pertanian, sektor digital, teknologi tinggi dan teknologi mendalam (deep technology) harus menjadi tumpuan.
“Sektor-sektor ini bukan sahaja mencerminkan masa depan tetapi juga penting untuk meningkatkan daya saing Bumiputera dalam ekonomi berinovasi,” katanya.