
Ketua Polis Johor M Kumar berkata polis juga menghubungi penganjur upacara berkenaan yang kini berada di Bangkok, Thailand untuk pulang dan memberi keterangan.
“Satu laporan polis dibuat oleh polis sendiri pada 28 Okt. Siasatan dibuat di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Beliau memberitahu media selepas menghadiri program Community Policing sempena Deepavali di IPK Johor.
Kumar berkata pihak penganjur tidak memohon permit daripada polis kerana upacara berkenaan dianjurkan di kawasan tertutup, tetapi telah mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Johor Bahru.
“Namun untuk makluman, pengawasan polis ada untuk memantau perarakan itu. Pengibaran bendera tidak di jalan raya, bukan masa perarakan tetapi di dalam bangunan (pusat beli-belah) Sentosa itu,” katanya.
Beliau berkata perarakan berkenaan turut disertai peserta dari luar negara.
Pada Selasa lepas, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat dilaporkan berkata polis membuka kertas siasatan berkaitan kejadian pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu upacara perarakan agama peringkat antarabangsa, yang tular di media sosial.