PKR tidak akan tangguh pemilihan

PKR tidak akan tangguh pemilihan

Presiden Anwar Ibrahim tegas ada keperluan untuk membina generasi pemimpin dalam kalangan Pemuda dan Wanita PKR.

Presiden Anwar Ibrahim mengumumkan pemilihan PKR tidak akan ditangguhkan.(Gambar PKR)
PETALING JAYA:
Biro politik PKR memutuskan pemilihan parti tidak akan ditangguhkan, memandangkan tarikh jangkaan untuk PRU16 masih jauh.

Presiden Anwar Ibrahim berkata keputusan dibuat dalam satu mesyuarat semalam, menurut Bernama.

Sebelum ini Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR membincangkan pandangan mengenai penangguhan pemilihan sehingga selepas PRU16.

Fuziah berkata ia hanya perbincangan dan tiada keputusan tuntas dicapai.

Anwar hari ini menegaskan keperluan untuk membina generasi pemimpin dalam kalangan Pemuda dan Wanita PKR.

Katanya lagi, pemilihan akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dan pemimpin lama untuk berganding mengurus parti.

“Mereka mesti diberi lebih ruang, cabang-cabang juga begitu,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Konvensyen PKR Perak.

Beliau menambah PKR sedang mengkaji mekanisme pemilihan bagi mengelakkan kacau bilau.

Sementara itu, Anwar berkata mesyuarat turut memutuskan bahawa kerjasama bersama parti-parti dalam kerajaan perpaduan harus diteruskan, malah lebih akrab lagi terutama di Semenanjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.