
Wan Agyl Wan Hassan, berkata peruntukan untuk menaik taraf sebahagian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari empat kepada enam lorong dan pembinaan Laluan Pintasan Cameron Highlands menunjukkan kurangnya perancangan jangka panjang oleh kerajaan.
“Ini mungkin kelihatan seperti penyelesaian praktikal kepada masalah trafik kita, tetapi pengalaman menunjukkan bahawa ia hanya berfungsi sementara waktu. Bandar-bandar seperti Los Angeles menunjukkan bahawa pembesaran jalan raya sering membawa kepada lebih banyak kereta di jalan — sesuatu yang disebut oleh pakar sebagai ‘cetusan permintaan’.
“Pada jangka masa panjang, kita kembali di mana ia bermula dengan kesesakan dan lebih banyak pencemaran,” kata bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu kepada FMT.

Wan Agyl mencadangkan agar dana yang diperuntukkan untuk projek ini lebih baik dibelanjakan untuk memperluaskan rangkaian rel negara dan memperbaiki perkhidmatan bas.
“Bandar seperti Copenhagen menunjukkan bahawa menjadikan pengangkutan awam mudah diakses dan cekap adalah kunci untuk mengurangkan penggunaan kereta dan membina bandar yang mampan. Malaysia mesti mencontohi pendekatan ini jika kita mahukan penyelesaian jangka panjang kepada isu pengangkutan,” tambahnya.
Wan Agyl juga mengakui bahawa Belanjawan 2025 menyediakan peningkatan kepada pengangkutan awam di Malaysia, seperti perolehan 12 gerabak tren baru untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan perjanjian untuk menyewa 50 unit lagi dari China.
Belanjawan tersebut turut memperuntukkan RM270 juta untuk perkhidmatan bas di bandar-bandar utama, manakala Prasarana Malaysia Bhd akan memperoleh 250 bas elektrik.
Bagaimanapun, beliau menyatakan kebimbangan terhadap kebergantungan yang terlalu besar kepada China sebagai pembekal gerabak tren, mengatakan ia adalah strategi yang berisiko.
Beliau turut mencadangkan Malaysia mencontohi Singapura dengan merangka strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dengan mengintegrasikan laluan bas, membina laluan basikal, serta menambah landasan dan stesen kereta api bagi menggalakkan rakyat untuk tidak memiliki kereta.

Seorang lagi perunding pengangkutan Rosli Khan memuji peruntukan untuk pengangkutan awam dalam belanjawan tersebut, terutama langkah kerajaan yang beralih dari projek mega kepada inisiatif yang lebih berpusatkan rakyat.
Beliau turut menyambut baik langkah subsidi petrol RON95 bersasar, tetapi meminta kerajaan memberikan lebih banyak perincian tentang bagaimana penjimatan subsidi tersebut akan dimanfaatkan untuk meningkatkan pengangkutan awam negara.
“Apa, di mana, bila dan berapa kosnya?” soalnya.
Rosli juga mencadangkan agar kerajaan memendekkan tempoh perjanjian konsesi tol dan menggabungkan Railway Assets Corporation (RAC) yang dimiliki kerajaan dengan KTMB.
“Pemisahan antara pemilikan aset dan tanah oleh RAC dan KTMB sebagai pengendali rel adalah tidak ideal dan tidak membawa kebaikan kepada masa depan operasi dan pelaburan rel,” katanya.