Lelaki parah ditembak di Sibu

Lelaki parah ditembak di Sibu

Kejadian disedari orang ramai apabila terdengar bunyi seperti tayar meletup dan kemudian mendapati seorang lelaki terbaring di bahu jalan.

Polis berkata pihaknya menerima maklumat kejadian tembakan itu pada 2.20 petang tadi dan siasatan masih dijalankan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki parah dipercayai ditembak berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Jalan Wong King Huo 21, Sibu, Sarawak, petang tadi.

Menurut maklumat tular di laman sosial, kejadian disedari orang ramai apabila terdengar bunyi seperti tayar meletup di kawasan berkenaan dan kemudian mendapati seorang lelaki berusia 40-an terbaring di bahu jalan.

Turut tular gambar sebuah pacuan empat roda yang mempunyai kesan tembakan pada cermin hadapan bahagian pemandu dan mangsa dikatakan dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan, lapor Bernama.

Ketua Polis Sibu, Zulkipli Suhaili, dalam kenyataan ringkas mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 2.20 petang dan masih menjalankan siasatan.

“Mangsa masih menerima rawatan di hospital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.