
Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut berpandangan gesaan Ahli Parlimen Tumpat Mumtaz Nawi dari Perikatan Nasional (PN) itu bukan keutamaan dalam berdepan sebarang ancaman.
“Saya lihat cadangan itu ‘tidak terlalu bijak’, sepatutnya minta tingkatkan penguasaan antaranya letakkan tapak asas macam dalam kes Pulau Batu Puteh, Singapura dilihat menguasainya kerana meletakkan rumah api.
“Itu lebih penting, lagipun nama tempatan juga sudah ada di Laut China Selatan seperti Beting Patinggi Ali di Sarawak,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Mumtaz dari PAS dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mencadangkan kerajaan menukar nama bahagian Laut China Selatan terletak dalam maritim Malaysia bagi menangkis tuntutan wilayah oleh negara asing.
Mumtaz mengemukakan cadangan itu berikutan pertikaian yang berterusan dengan Beijing mengenai Laut China Selatan, sambil mengambil kira bahawa Malaysia akan mengambil alih jawatan sebagai pengerusi Asean tahun depan.
Nama dicadangkan wakil rakyat pembangkang itu antaranya Laut Asia Tenggara atau Laut Melayu.
Sementara itu, pakar geostrategis Azmi Hassan berkata kerajaan tidak perlu melayan gesaan seumpama itu dan yakin Malaysia mempunyai strategi sendiri berdepan isu tuntutan dari negara asing.
“Bagi saya tidak perlu tukar kerana Laut China Selatan itu adalah sebahagian yang lebih besar.
“Betul perairan Indonesia mereka memanggil Laut Natuna Utara walaupun berkait sikit dengan Laut China Selatan, sama juga di Filipina tetapi hakikatnya kita ada strategi lain,” katanya.
Ogos tahun lalu, Malaysia menegaskan menolak tuntutan China di Laut China Selatan, seperti digariskan dalam peta standard baharu negara itu yang meliputi kawasan maritim negara.
Kementerian Luar berkata negara kekal konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan, dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara ini berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
China dilaporkan mengeluarkan peta standardnya bagi edisi 2023 yang turut meliputi seluruh negeri Arunachal Pradesh, India; wilayah Aksai Chin, Taiwan, dan kawasan di perairan Laut China Selatan yang dituntut pelbagai negara termasuk Malaysia.