Annuar Musa cadang PN lantik setiausaha agung bersama, bawa masuk tokoh

Annuar Musa cadang PN lantik setiausaha agung bersama, bawa masuk tokoh

Presiden Muafakat Nasional, Annuar Musa, cadang PN perkenal corak organisasi yang lebih inklusif dan progresif.

annuar musa
Annuar Musa cadang PN bawa masuk tokoh-tokoh berkeupayaan tinggi bagi mengisi gabungan itu dengan individu berbakat.
PETALING JAYA:
Presiden Muafakat Nasional mencadangkan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan corak organisasi yang lebih inklusif dan progresif, dengan pelantikan setiausaha agung bersama dan membawa masuk tokoh sebagai ahli dan sekutu.

Annuar Musa, yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat lantikan, mencadangkan PN meminda perlembagaannya bagi membolehkan penglibatan lebih daripada seorang setiausaha agung, jika perlu, “untuk menjadikan organisasi PN lebih mantap”.

Beliau juga mencadangkan PN membawa masuk ‘tokoh-tokoh berkeupayaan tinggi’ yang mungkin tidak berparti, disingkir parti, atau golongan teknokrat yang tidak dapat ke tengah melalui parti, bagi mengisi gabungan itu dengan individu berbakat.

“PN yg ditransformasikan akan menjadi cukup inklusif, luwes (fleksibel) dan progresif,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Annuar turut menyentuh tentang pemilihan calon perdana menteri, dengan mencadangkan PN melaksanakan prinsip “parti secara bersama menguasai kerajaan”.

“Ini akan menentukan di mana PN secara syura boleh memilih calon perdana menteri apabila PN secara kolektif mempunyai cukup majoriti selepas setiap pilihan raya umum,” katanya.

Bekas pemimpin Umno itu berkata PN wajar mempertimbangkan keanggotaan ’eminent persons’ dalam majlis presiden bagi menjadikan badan itu “lebih berwibawa lagi”.

Cadangan ini berlatarkan perbincangan tentang kesesuaian PAS menjadi pengerusi PN, susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; dengan beberapa nama dilontarkan termasuk Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hasrat PAS menjadi kemudi berlatarkan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar bertukar tangan, selepas sekumpulan Adun Bersatu menarik balik sokongan kepada Shukri Ramli.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, dilapor berkata PAS sudah memuktamadkan nama calon pengerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.