Yuran taska dijangka naik tahun depan, kata persatuan

Yuran taska dijangka naik tahun depan, kata persatuan

Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak menjangkakan kenaikan kadar yuran antara 15% hingga 30% susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,700.

Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia, Simon Ng berkata penambahan kos operasi industri penjagaan kanak-kanak akan meningkat dengan ketara tahun depan.
PETALING JAYA:
Pemilik pusat jagaan kanak-kanak dijangka menaikkan kadar yuran antara 15% hingga 30% bermula tahun hadapan susulan peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700 seperti diumumkan kerajaan dalam belanjawan baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia, Simon Ng berkata penambahan kos operasi industri penjagaan kanak-kanak akan meningkat dengan ketara selepas kadar gaji baharu itu dikuatkuasa Februari tahun depan.

“Sebagai sebahagian daripada industri perkhidmatan, penjaga dan kakitangan pusat jagaan kanak-kanak, adalah penting untuk mereka menerima pulangan gaji yang adil.

“Bagaimanapun, apabila tahap gaji meningkat, kos operasi industri penjagaan kanak-kanak sudah pasti akan meningkat dengan ketara,” katanya dalam kenyataan.

Menyifatkan kenaikan sehingga 30% adalah wajar, Simon berkata penyelarasan yuran baharu itu juga akan memastikan kanak-kanak terus menikmati perkhidmatan penjagaan yang berkualiti tinggi dan selamat.

Menurut Simon lagi, pihaknya sedang mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan penyelarasan yuran baharu itu.

“Ia bagi mencari penyelesaian dalam proses pelaksanaan dasar, menyokong langkah-langkah dan memastikan peralihan yang lancar bagi industri jagaan harian dan mencapai pembangunan mampan industri pusat jagaan kanak-kanak di seluruh Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji minimum baharu iaitu RM1,700 berbanding RM1,500 pada masa ini ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan memberi penangguhan enam bulan kepada majikan yang mempunyai kurang lima pekerja, dengan pelaksanaan bermula 1 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.