Mangsa banjir Pahang semakin berkurangan

Mangsa banjir Pahang semakin berkurangan

Seramai 194 mangsa daripada 58 keluarga masih berada di lima pusat pemindahan sementara setakat pagi tadi berbanding 218 orang daripada 66 keluarga semalam.

PPS
Jumlah mangsa banjir di Pahang menunjukkan penurunan dengan 194 mangsa daripada 58 keluarga yang masih berlindung di PPS. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Jumlah mangsa banjir di Pahang menunjukkan penurunan dengan 194 mangsa daripada 58 keluarga masih berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding 218 orang daripada 66 keluarga petang semalam.

Menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 129 orang daripada 35 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan manakala di Maran sebanyak 35 orang daripada enam keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian.

Tiga PPS iaitu Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Sekolah Kebangsaan Pulau Manis dan Dewan Orang Ramai Air Hitam pula beroperasi di Pekan, menempatkan 30 mangsa daripada 17 keluarga.

Laman web infobanjir pula memaklumkan paras air Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan telah melepasi aras bahaya namun menunjukkan trend penurunan setakat 8 pagi ini.

Hujan lebat berterusan minggu lepas mengakibatkan beberapa daerah di Pahang dilanda banjir dengan mangsa yang dipindahkan ke PPS direkodkan melebihi 13,000 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.