Belanjawan 2025: Laksana analisis faedah kos bagi penyasaran subsidi, kata Rafidah

Belanjawan 2025: Laksana analisis faedah kos bagi penyasaran subsidi, kata Rafidah

Analisis demikian penting supaya golongan rakyat berhak menerima subsidi yang diperuntukkan secara saksama, kata bekas menteri itu.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz mengingatkan setiap agensi dan badan agar membelanjakan peruntukan diterima menerusi Belanjawan 2025 sebaik mungkin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rafidah Aziz menyarankan agar penyasaran subsidi yang akan dilaksanakan pada tahun depan dihalusi, termasuk melaksanakan analisis faedah kos bagi memastikan setiap perancangan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, ini juga penting supaya golongan rakyat berhak menerima subsidi yang diperuntukkan secara saksama.

“Pelaksanaan itu kena betul-betul bersasar dengan tepat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk ‘Fathers and Their Wisdom’ hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelaksanaan penyasaran subsidi yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, setiap penyasaran adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.

Dalam pada itu, Rafidah menekankan pelaksanaan sistem pemantauan perbelanjaan belanjawan secara berkala pada setiap peringkat tata urus kerajaan, daripada daerah, kerajaan tempatan hingga ke kementerian, bagi memastikan tiada penyelewengan atau rasuah berlaku.

Beliau juga mengingatkan agar setiap agensi dan badan membelanjakan peruntukan diterima dengan sebaik mungkin.

“Jangan kita permainkan duit rakyat ini dan elak bermewah. Penting agar setiap ringgit dibelanjakan dengan apa yang ditentukan dan dirancang,” katanya.

Rafidah juga berharap golongan atasan atau kaya tidak ditekan dengan pelaksanaan cukai baharu yang membebankan kerana mereka turut menyumbang kepada pendapatan negara.

“Jangan pandang dari segi duit, tetapi nilai tambah pada setiap entiti perniagaan yang ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.