Pemandu e-panggilan, pemilik bot akan terima manfaat tambahan BUDI95

Pemandu e-panggilan, pemilik bot akan terima manfaat tambahan BUDI95

MoF berkata pemandu e-panggilan sepenuh masa layak dapat lebih 300 liter RON95 manakala pemilik bot tanpa lesen memandu juga sedang dikenal pasti untuk dilibat.

Petrol 95
Kementerian Kewangan berkata, lebih tiga juta pengguna sudah memanfaatkan BUDI95 sejak diperkenalkan 27 Sept lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju memberikan kuota tambahan petrol RON95 bersubsidi kepada pemandu e-panggilan sepenuh masa.

Selain itu, kelayakan BUDI95 akan diperluaskan kepada warganegara yang menjadi pemilik bot berdaftar tanpa memerlukan lesen memandu sah.

Dalam kenyataan, Kementerian Kewangan berkata pemandu e-panggilan sepenuh masa akan diberikan kelayakan lebih 300 liter dan penambahan had itu dijangka diberikan sebelum pertengahan Oktober.

“Pemandu e-panggilan tidak perlu memohon secara individu. Kerajaan akan berurusan dengan syarikat pengendali e-panggilan (EHO) untuk membuat permohonan secara berkelompok,” katanya.

“Kerajaan persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berkenaan, seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengenal pasti pemilik bot berdaftar.”

Katanya, kelayakan subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap warganegara yang layak telah diperbaharui pada 1 Okt dan manfaat ini akan diperbaharui setiap 1 hari bulan.

Setakat 6 petang tadi, jumlah pembelian petrol RON95 bersubsidi melalui sistem BUDI95 telah merekodkan transaksi bernilai kira-kira RM84.2 juta, iaitu lebih 42.3 juta liter petrol.

Daripada jumlah tersebut, kerajaan telah menyalurkan subsidi RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Sejak pengenalan BUDI95 secara berperingkat mulai 27 Sept, seramai lebih tiga juta pengguna memanfaatkannya.

“Jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi direkodkan adalah RM255.6 juta, melibatkan 128.4 juta liter petrol dan subsidi berjumlah RM67 juta disalurkan oleh kerajaan,” kata kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.