
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Yeoh Soon Hin, berkata kontraktor itu menarik diri 16 Okt lalu selepas berkali-kali berusaha menyelamatkan feri ikonik daripada terus senget dan tenggelam.
“Pihak kontraktor menarik diri setelah berusaha kali terakhir sehingga 10 malam 16 Okt lalu. Semua peralatan menyelamat seperti pam, hos dan sebagainya dibawa keluar dari feri bagi mengelakkan hanyut ketika air pasang.
“Cabaran yang dihadapi adalah kerja tersebut hanya boleh dilaksanakan ketika air surut bagi memastikan paras air laut di bawah ‘fender’ atau dek feri. Kontraktor juga perlu memastikan air laut tidak memasuki ruang enjin semula melalui mana-mana lubang atau bukaan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, feri itu berjaya ditegakkan pada 7 petang 15 Okt lalu ketika air surut susulan kerja mengepam air sejak pagi, tetapi feri kembali senget sejam kemudian dengan air mula memasuki ruang enjin semula.
Menurutnya, Printhero sedang mempertimbangkan penggunaan pelampung bagi mengangkat dan menstabilkan feri itu, seterusnya mengesan serta menampal kebocoran.
Katanya, feri itu akan dibawa ke lokasi akhir Feri Muzium Terapung di Tanjung City Marina, di mana kerja memasang cerucuk dan meter elektrik sudah selesai.
“SPPP akan sentiasa memantau keadaan terkini Feri Muzium Terapung dan menggandakan usaha untuk memastikan Feri Pulau Pinang ini berjaya direalisasikan sebagai Muzium Feri Pulau Pinang.”
Sebelum ini, kebocoran di bahagian bawah yang menyebabkan air memasuki ruangan enjin punca Feri Pulau Pinang dalam proses pengubahsuaian senget dan hampir tenggelam.
Yeoh berkata, Printhero yang mendapati feri itu senget ketika berada di dermaga pada 6 Okt lalu segera melantik kontraktor untuk mengepam air dan melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca kebocoran.
“Kerja mengepam air yang dilaksanakan kontraktor lantikan Printhero serta dibantu pasukan Bomba Penang Port Sdn Bhd tidak berjaya menstabilkan feri. Ia berisiko tenggelam di dermaga jika tidak dipindahkan segera ke lokasi lebih cetek.
“Justeru, feri berkenaan ditunda ke lokasi cetek (kedalaman sekitar 2m) dekat gudang di depan Swettenham Pier Cruise Terminal sekitar 3 pagi 7 Okt bagi mengelakkan feri tenggelam di dermaga yang mempunyai kedalaman kira-kira 8m.”
Beliau berkata, dengan usaha semua pihak khasnya Printhero, feri itu ditolak ke tepi jeti ketika air pasang pada malam Jumaat untuk disandarkan di jeti dengan stabil dan ia kini luar situasi berbahaya.