Bot meletup di Kuala Perlis, nelayan parah

Bot meletup di Kuala Perlis, nelayan parah

Seorang lagi mangsa melecur 45% apabila ruang tempat penyimpanan bateri meletup.

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata bot fiber nelayan itu meletup mengakibatkan seorang mangsa parah dengan melecur hampir 90%. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua nelayan cedera dengan seorang daripadanya parah selepas bot fiber meletup dalam kejadian di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, malam tadi.

Dalam kejadian pada 11.55 malam, Mohamad Bakri Idham, 54, melecur hampir 90%, manakala rakannya Nur Azman Sabu, 45, mengalami lecur sekitar 45%, pada keseluruhan badan mereka.

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata letupan berlaku selepas mangsa membuka penutup ruangan tempat penyimpanan bateri.

“Mengikut maklumat daripada salah seorang mangsa, ketika mereka hendak membuat persiapan itu, mangsa membuat pemeriksaan bot dengan memastikan minyak, bateri, dan kelengkapan bot yang lain lengkap sewaktu bertolak ke laut.

“Namun, apabila mangsa membuka penutup ruangan tempat simpan bateri, secara tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot itu,” katanya kepada Berita Harian.

Katanya, api kesan letupan itu menyambar kedua-dua mangsa, namun mereka sempat diselamatkan penduduk kampung berhampiran.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.