Suami isteri ditahan berkait tuntutan palsu lebih RM650,000

Suami isteri ditahan berkait tuntutan palsu lebih RM650,000

Pasangan terbabit dipercayai membuat kira-kira 15 tuntutan palsu terhadap Sabah Electricity Sdn Bhd sekitar 2013.

macc
Bekas CEO dan pengarah eksekutif syarikat swasta berusia lingkungan 50 hingga 60-an ditahan ketika hadir beri keterangan di pejabat SPRM Sabah pagi tadi.
PETALING JAYA:
Suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi kerana disyaki membuat tuntutan palsu pembekalan diesel lebih RM650,000 kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Bekas ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif syarikat swasta berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada 10.55 pagi.

Harian Metro yang memetik sumber melaporkan, pasangan terbabit dipercayai membuat kira-kira 15 tuntutan palsu terhadap SESB sekitar 2013.

“Tuntutan palsu itu membabitkan kontrak pembekalan diesel bagi kegunaan set jana kuasa elektrik yang dipercayai untuk syarikat mereka.

“Pembekalan diesel berkenaan yang sebenar tidak sama seperti dalam tuntutan dibuat,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau Khamis ini bagi proses pertuduhan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.