Disyaki terima rasuah RM370,000, bekas eksekutif kanan O&G direman

Disyaki terima rasuah RM370,000, bekas eksekutif kanan O&G direman

Suspek dipercayai dibayar sehingga RM2,100 sehari oleh konsultan dilantik.

Suspek berusia lingkungan 50-an direman sehingga 18 Okt dengan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM370,000 bagi lantikan konsultan.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan sekitar 5.30 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada empat individu bagi membolehkan mereka dilantik sebagai konsultan pakar geologi untuk syarikat tersebut.

“Semua individu terbabit dibayar antara RM750 hingga RM2,100 sehari bergantung kepada kadar bayaran konsultan pakar geologi dan tawaran diputuskan oleh syarikat suspek.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya daripada akaun bank keempat-empat individu tersebut yang berjumlah antara RM150 hingga RM500 sehari,” kata sumber itu.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman empat hari sehingga 18 Okt telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dengan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.