Operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sempena final Piala Malaysia

Operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sempena final Piala Malaysia

Rapid Rail berkata ia bagi mudahkan dan tampung pergerakan penumpang selepas tamat perlawanan final Piala Malaysia pada Sabtu ini.

LRT Bukit Jalil
Waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil dan tren bagi Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya dilanjutkan hingga 12.30 malam pada Sabtu ini. (Gambar klia.info)
PETALING JAYA:
Waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam Ahad ini bersempena dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Kuching City FC yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan berkenaan dijadual berlangsung pada 9 malam, Sabtu ini.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan memaklumkan waktu operasi tren bagi dua laluan iaitu Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya turut dilanjutkan bagi menampung pergerakan penumpang selepas tamat perlawanan.

Kata kenyataan itu lagi, untuk menukar laluan dari Laluan Ampang/Sri Petaling ke Laluan Putrajaya, hanya Stesen Sungai Besi akan dibuka.

“Stesen lain di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya akan ditutup seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen di laluan tersebut untuk meneruskan perjalanan pulang,” katanya.

Rapid Rail turut menasihati penonton yang hadir ke perlawanan untuk merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan kemudahan parkir di Park N’ Ride yang disediakan di stesen sepanjang Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya.

Penumpang juga disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau kaedah pembayaran tanpa tunai manakala pengguna token pula digalakkan membuat pembelian awal bagi perjalanan pergi dan balik.

Menurutnya, Rapid KL akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi strategik bagi membantu penumpang sepanjang tempoh lanjutan operasi tersebut.

Maklumat lanjut mengenai jadual perkhidmatan Rapid KL serta kemudahan Park N’ Ride di stesen boleh diperoleh di www.myrapid.com.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.