
Fadzli berkata aktiviti perlombongan haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengundang risiko besar terhadap nyawa, keselamatan dan kelestarian alam sekitar.
“Operasi pemantauan, risikan dan tindakan lapangan terus dipertingkatkan bagi membendung kegiatan pencerobohan hasil bumi secara lebih tegas dan berkesan.
“Individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti pengambilan hasil bumi tanpa lesen dan kelulusan sah boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Mineral Negeri Kelantan serta undang-undang berkaitan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata kerajaan negeri amat dukacita dan kesal dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua lelaki ketika menjalankan aktiviti perlombongan emas di Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, Jeli.
Fadzli turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi prosedur operasi dan syarat keselamatan yang ditetapkan selain mendapatkan permit serta kelulusan sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan.
“Keghairahan mencari keuntungan tidak boleh mengatasi soal keselamatan nyawa dan pematuhan undang-undang,” katanya.
Semalam, dua lelaki maut tertimbus dalam runtuhan tebing tanah ketika menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan anak sungai dekat Ladang Sawit Jerimbong, Jeli.