Imam maut SUV terbabas selepas lawat isteri bersalin di hospital

Imam maut SUV terbabas selepas lawat isteri bersalin di hospital

Nurul Kamal Zulkarnain, 37, ialah imam Masjid As-Siddiq serta guru takmir Agensi Antidadah Kebangsaan di Seri Iskandar.

Keadaan Perodua Kembara mangsa selepas terbabas di KM211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat arah utara, dekat Sitiawan semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang imam maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas di KM211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Sitiawan, Perak, semalam.

Nurul Kamal Zulkarnain, 37, ialah imam Masjid As-Siddiq di Seri Iskandar serta guru takmir Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Seri Iskandar.

Difahamkan, isteri mangsa baru bersalin di Hospital Seri Manjung kelmarin.

Nahas berlaku selepas mangsa melawat isterinya di hospital dan dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar untuk mengambil anak lain di sekolah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang.

“Sebuah Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit di tepi WCE. Seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas, sebelum menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.