Pengarah syarikat mengaku tak salah buat tuntutan palsu RM300,000

Pengarah syarikat mengaku tak salah buat tuntutan palsu RM300,000

Tertuduh didakwa memperdaya pegawai kanan kastam satu set invois mengandungi butiran palsu bagi kerja pembaikan bot pada 2021.

shah alam court
Pengarah syarikat Yap Sin Kong didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan butiran palsu dalam tuntutan berjumlah RM302,850.48 bagi kerja pembaikan bot, tiga tahun lalu.

Yap Sin Kong, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Tertuduh didakwa dengan niat memperdaya seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) satu set invois mengandungi butiran palsu bagi kerja pembaikan Bot Perantas KB79-Stesen Wilayah Persekutuan Labuan dengan memasukkan butiran kerja berjumlah RM8,239 yang tidak dilaksanakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Pengurusan Kewangan, Ibu Pejabat JKDM, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya pada 5 Okt 2021, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Yap turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan bagi perbuatan sama bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-keduanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Yap yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah berikutan masalah kewangan dihadapinya.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah ikat jamin RM15,000 dan membenarkan semua permohonan pihak pendakwaan beserta syarat tambahan.

Sebutan semula kes ditetapkan 13 Nov depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.