
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra P Prabakaran berkata, kesemua program dalam pelaksanaan itu memberikan tumpuan kepada usaha memperkasakan sosioekonomi komuniti India di negara ini.
Menurutnya, program itu meliputi Program Bantuan Lesen Lori GDL Mitra sebanyak RM1.5 juta; Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber Ec-Council (RM3.4 juta); Program ‘Stock Market Investment and Trading’ (RM3.05 juta); dan Program ‘Malaysia-China Youth TVET Training’ (RM3 juta).
“Program lain termasuk Program ‘Malaysian Indian Skills Initiative’ sebanyak RM10 juta; ‘Malaysian Indian Community Entrepreneurship Programme’ (RM12,326,400); Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (RM10 juta); dan Program Bantuan Awal Kemasukan IPT Mitra (RM25 juta).
“Selain itu, (terdapat juga) Program Bantuan Subsidi Dialisis bernilai RM8 juta; Program Bantuan Sinar Cahaya (RM15.5 juta); dan Program Kesedaran Keselamatan Siber untuk SJKT dan Pelajar India di SMK sebanyak RM3,705,675,” katanya pada Majlis Libat Urus Permohonan Geran PPSMI 2025.
Prabakaran berkata, Mitra juga merancang untuk melaksanakan program menggunakan baki peruntukan sebanyak RM4,517,925 supaya peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta pada tahun ini dapat dibelanjakan sepenuhnya.
“Baki RM4.4 juta ini, kita ada perancangan dan kita akan buat pengumuman selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Mitra JPM dalam masa terdekat,” katanya.
“Jadi, kita bersama pimpinan (Mitra) memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapatkan dana lebih seperti yang dicadangkan, iaitu RM300 juta (bagi 2025).”
Mengenai majlis libat urus itu, beliau berkata, program itu memberi peluang kepada pihak berkepentingan, NGO dan syarikat-syarikat berkaitan memperoleh informasi dan berkongsi pandangan dengan Mitra dalam usaha meningkatkan lagi sosioekonomi masyarakat India.
“Hari ini penglibatan yang sangat luar biasa, lebih 300 orang terdiri daripada pimpinan tempatan, pihak berkuasa tempatan, ketua komuniti India dan NGO hadir memberi pandangan yang sangat positif. Ada juga kritikan yang diberikan, kita terima dengan hati terbuka dan kita akan buat yang terbaik untuk 2025.
“Selain itu, kita juga menyatakan hala tuju dan rantaian ke hadapan Mitra (serta memberikan taklimat panduan permohonan geran dan cara memohon geran Mitra yang akan dibuka pada 15 Okt hingga 14 Nov,” katanya.
Dalam majlis sama, Prabakaran turut mengumumkan pelantikan Adun Sentosa Dr G Gunarajah sebagai Penyelaras Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra Selangor dan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jayakumaran R Muniandy selaku Penyelaras JPPK Mitra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.