Tular lempar kata kesat pada polis, penganggur mengaku tak salah

Tular lempar kata kesat pada polis, penganggur mengaku tak salah

Goh Weng Keong, 25, didakwa mengaibkan kehormatan di hadapan perhentian bas Jalan Thean Teik, Ayer Itam.

Goh Weng Keong dibenar ikat jamin RM9,000 dengan sebutan semula kes pada 14 Nov.
PETALING JAYA:
Penganggur tular menghamburkan perkataan kesat kepada seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan mengaibkan kehormatan, pada 2 Okt.

Tertuduh, Goh Weng Keong, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa mengaibkan kehormatan Nik Muhammad Faizal Nik Long, 40, berpangkat koperal dengan menyebut perkataan kesat dengan maksud supaya perkataan itu didengar dan mengganggu kesantunan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan perhentian bas Jalan Thean Teik, Ayer Itam, kira-kira 6.45 petang, 2 Okt, lapor Kosmo.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding, Darrshini menawarkan jaminan RM9,000 berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Nov sebutan semula kes.

Terdahulu, tular klip video berdurasi tiga minit memaparkan seorang penunggang motosikal sedang memarahi seorang pegawai trafik dengan menggunakan kata kesat di aplikasi WhatsApp.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.