
Perintah lanjutan reman suspek berusia 18 hingga 55 tahun itu dikeluarkan Majistret M Mageshwary selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Tujuh wanita termasuk empat isteri kepada ahli lembaga pengarah GISBH disambung reman sehari manakala dua lelaki direman dua hari selepas reman tujuh hari kesemua mereka bermula 28 September lalu tamat.
Semua suspek diwakili peguam Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah dan Najib Zakaria.
Menurut Boestamam, semua mereka sebelum ini ditahan polis di sekitar Rawang pada 27 September lalu.
“Mahkamah hari ini (Jumaat) membenarkan lanjutan reman selama satu hari terhadap tujuh wanita, manakala dua hari terhadap dua lelaki untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
“Wanita ini dijangka dibebaskan dengan jaminan polis pada petang ini,” katanya ketika ditemui pemberita, menurut Sinar Harian.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini memaklumkan polis akan membuat permohonan sambung reman terhadap 24 ahli tertinggi GISBH termasuk ketua pegawai eksekutif syarikat itu susulan tempoh reman mereka tamat pada Jumaat.