
Setiausaha Agung MDDM Samson David Maman berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan itu menerusi e-mel, panggilan telefon, pesanan ringkas dan juga gambar.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Forum Akta 787- Memelihara Kemuliaan Anugerah Kebesaran, beliau berkata, pihaknya menerima purata 30 kes setiap bulan berkaitan penggunaan gelaran kehormat palsu seperti gelaran Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri.
“Hampir setiap hari, saya mendapat laporan daripada seseorang yang memohon bantuan mengenai perkara ini … jadi kami bimbing mereka mengenai apa yang perlu dilakukan, dan satu daripadanya adalah membuat laporan polis,” katanya.
Beliau menambah, perkara itu perlu dilaporkan kepada polis kerana pihaknya sendiri tidak boleh mengambil tindakan berhubung perkara itu, namun akan menyokong laporan pengadu.
Sementara itu, Pengerusi Bernama Wong Chun Wai yang juga bekas naib presiden MDDM turut menggalakkan orang ramai membuat aduan rasmi kepada polis supaya pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan.
“Kami harap polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dapat memberi keutamaan bagi mempercepat siasatan kes-kes sebegini (sebagai) pengajaran kepada mereka yang bersalah.
“(Darjah kebesaran ini) dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan raja-raja. Kita perlu melindunginya dan kita tidak mahu sesetengah orang menyalah guna atau menipu,” katanya.
Sementara itu Presiden MDDM Awalan Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, MDDM telah mengemukakan kertas cadangan penambahbaikan dan pindaan Akta 787 kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal undang-Undang dan reformasi institusi) dan pihak peguam negara bagi memperkasakan aspek keberkesanan dan penguatkuasaannya.
“Antara cadangannya adalah meningkatkan denda dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan tertentu bawah akta ini sebagai penghalang kepada penyalahgunaan darjah kebesaran dan gelaran.
“Ini juga akan memungkinkan kes-kes pendakwaan dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.