
Hakim Effandi Nazila Abdullah berkata, Na yang mengendalikan firma guaman Wee Jern & Partners melanggar kewajipan fidusiarinya dan melakukan penipuan dengan gagal menyerahkan hasil jualan pangsapuri milik Tan Saw Lin, 83, di Cheras pada 2023.
Mahkamah diberitahu pembeli telah mendepositkan RM415,000 ke akaun bank firma guaman itu sebagai harga belian, tetapi Tan tidak pernah menerima wang berkenaan.
Sebaliknya, hakim berkata, Na memalsukan dokumen mahkamah dan membuat dakwaan palsu kononnya akaun bank itu telah dibekukan untuk menangguhkan pembayaran.
“Mahkamah berpendapat plaintif (Tan) telah berjaya membuktikan kesnya kerana niat jahat defendan (Na) jelas melalui representasi palsu dan garis masa tidak benar yang diberikan.
“Semua pembohongan yang diberitahu kepada plaintif seolah-olah direka dan dirancang terlebih dahulu oleh defendan, seorang yang sangat fasih serta mahir dalam selok-belok urusan jual beli hartanah,” kata Effandi dalam alasan bertulis yang dikeluarkan baru-baru ini.
Hakim berkata, beliau telah meneliti bukti dalam bentuk rakaman video, di mana Na mengaku menyalahgunakan wang itu serta mesej WhatsApp menunjukkan tawaran membayar balik secara ansuran dengan faedah.
Effandi turut mendapati Na menyalahgunakan proses mahkamah dengan mengendalikan pembelaannya dalam kes ini “dengan cara yang direka untuk mengelak daripada tanggungjawab dan liabiliti undang-undang”.
“Sejak penutupan pembelaan, defendan bertindak secara mala fide (niat jahat) dalam pembelaannya kerana sengaja dan berulang kali ingkar arahan pra-perbicaraan mahkamah.
“Defendan tidak pernah memfailkan sebarang dokumen dan tidak menghadiri perbicaraan selama dua hari untuk membela kesnya.”