‘Tengku’ mengaku tak salah tipu dapatkan gelaran Datuk

‘Tengku’ mengaku tak salah tipu dapatkan gelaran Datuk

Tertuduh,Tengku Ahmad Ariff Mulia Tengku Daeng Bahaismail didakwa memperdayakan mangsa membayar RM64,500 kononnya untuk mendapatkan gelaran itu.

seremban court
Tertuduh, Tengku Ahmad Ariff Mulia Tengku Daeng Bahaismail, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menipu kononnya boleh mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menipu kononnya boleh mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk dengan bayaran RM64,500.

Tertuduh, Tengku Ahmad Ariff Mulia Tengku Daeng Bahaismail, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menipu seorang lelaki dengan memperdayakan mangsa untuk membayar RM64,500, kononnya untuk mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perbuatan itu dilakukan antara 30 Mac hingga 6 Disember 2025 di sebuah rumah beralamat di Taman Nuri Indah.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin manakala tertuduh diwakili peguam Chrysandy Lai.

Terdahulu, Hanis Anisha menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh namun Lai memohon jumlah yang munasabah memandangkan anak guamnya kini tidak bekerja.

Lai juga berkata tertuduh perlu menjaga ibu dan mangsa dalam kejadian dipercayai akibat salah faham itu adalah rakan kepada ahli keluarga tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM5,000 dan sebutan semula pada 3 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.