
Perintah reman lima hari hingga 26 April terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengerusi NGO itu disyaki melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 hingga kini.
“Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat yang juga miliknya,” katanya.
Sumber berkata, susulan siasatan SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun terdiri tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.
“Selain itu, turut disita wang tunai terdiri RM6,576; mata wang asing Riyal 95,568; SGD795; tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; tiga beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000; lima unit gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000.
“Sebentuk cincin berjumlah kira-kira RM2,000; satu unit rantai berjumlah kira-kira RM7,000; dan 51 keping emas seberat 1g berjumlah kira-kira RM31,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.