Jawatankuasa Fatwa Selangor yakin GISBH amal ajaran sesat Aurad Muhammadiah

Jawatankuasa Fatwa Selangor yakin GISBH amal ajaran sesat Aurad Muhammadiah

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan fatwa berkait GISBH yang butirannya akan dihuraikan Jabatan Mufti Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dipersembahkan oleh Mufti Anhar Opir fatwa diputuskan Jawatankuasa Fatwa Selangor berkait ajaran dan amalan GISBH. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Fatwa Selangor yakin pemimpin dan pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung dibawa kumpulan Al-Arqam yang diisytiharkan sesat pada 1993.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah dimaklumkan hasil mesyuarat jawatankuasa terbabit pada 30 Sept lalu yang membuat pendirian itu dalam memutuskan fatwa berkait ajaran atau amalan GISBH.

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor berpuas hati dan meyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung dibawa kumpulan Darul Arqam yang telah diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar menurut warta nombor 54 disiarkan 4 Feb 1993.

“Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat,” katanya.

Sehubungan itu, sebarang fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru mempunyai persamaan dengannya disifatkan menyeleweng serta bertentangan dengan ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Kenyataan itu menyebut Sultan Sharafuddin berkenan dengan fatwa tersebut selepas dipersembahkan oleh pengerusi jawatankuasa yang juga Mufti Selangor Anhar Opir.

“Butiran lanjut mengenai fatwa terkini ini akan dihuraikan oleh Jabatan Mufti Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.