
Peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili SIS Forum berhujah, Mahkamah Persekutuan memutuskan perkara itu beberapa kali sejak 2018 susulan keputusan bersejarah dalam kes M Indira Gandhi berkaitan penukaran agama kepada Islam secara satu pihak.
Bagaimanapun, katanya, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan dalam kes serupa membabitkan SIS Forum, tidak mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan.
Malik berkata, Mahkamah Rayuan sebaliknya memutuskan bahawa fatwa adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikai atau disemak semula oleh mahkamah.
Peguam itu, yang dibantu oleh A Surendra Ananth, berkata demikian dalam rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Islam Selangor pada 2014, yang melabel kumpulan hak asasi wanita itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Beliau juga berkata, terdapat pelanggaran dari segi keadilan semula jadi kerana SIS Forum tidak diberikan hak didengar sebelum fatwa itu diwartakan.
Panel yang mendengar rayuan itu terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim; serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Abu Bakar Jais dan Abdul Karim Jalil.
SIS Forum dan pengasas bersamanya, Zainah Mahfoozah Anwar, memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa tersebut, namun gagal pada peringkat Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019 serta Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas.
Mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan Selangor sebagai responden.
Fatwa itu, yang diwartakan oleh kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan SIS Forum, mana-mana individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme yang menyeleweng adalah menyimpang daripada ajaran Islam.
Ia turut mengarahkan agar sebarang penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural berkaitan Islam hendaklah diharamkan dan disita serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menapis laman sesawang sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili jawatankuasa fatwa pula berhujah, fatwa tidak terbuka kepada semakan kehakiman kerana tidak boleh disamakan dengan perundangan lain.
Beliau berkata, SIS Forum tidak boleh membatalkan fatwa itu kerana semua prosedur perundangan dipatuhi dengan ketat dan terdapat ruang lain untuk kumpulan tersebut mencabar fatwa.
Peguam Aidil Khalid, yang juga mewakili jawatankuasa fatwa pula berkata, SIS Forum diberikan peluang untuk didengar, iaitu melalui dialog bersama pihak berkuasa agama negeri yang diadakan sebelum fatwa itu dikeluarkan.
Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Mais manakala penasihat undang-undang Selangor Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri.
Pendengaran ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.