
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan selama 12 hari sejak 19 Ogos lalu.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak atas penghujahan yang teliti, saya akan menyampaikan keputusan itu pada hujung bulan ini (30 Okt),” katanya.
Pada 30 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil seramai 50 saksi.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Terdahulu, ketika menjawab hujahan pendakwaan, peguam utama Najib, Shafee Abdullah, berkata semua kelakuan dan tindakan anak guamnya konsisten menunjukkan beliau tidak bersalah.
“Pendakwaan tidak menjelaskan apa yang mereka maksudkan dengan (Najib) bayangan Jho Low di cermin,” katanya, merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Beliau berkata Low membuka akaun bank di seluruh dunia, tetapi akaun Najib hanya dikekalkan di AmBank di sini.
“Kami berharap mahkamah akan membuat penilaian maksimum terhadap bukti dan saksi pendakwaan. Beliau (Najib) sepatutnya dibebaskan,” katanya.
Shafee berkata saksi utama pendakwaan tidak patut dipercayai kerana keterangan mereka tidak disokong dengan bukti.
“Dari segi undang-undang, mahkamah tidak boleh memanggil Najib untuk membela diri semata-mata untuk mendengar penjelasannya mengenai pertuduhan,” katanya, sambil menambah bahawa tindakan anak guamnya mungkin cuai tetapi bukan perbuatan jenayah.
Shafee berkata Najib benar-benar percaya bahawa semua wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.