Ada keperluan tambah baik akta berkait keselamatan negara, kata PM

Ada keperluan tambah baik akta berkait keselamatan negara, kata PM

Anwar Ibrahim berkata pihak berkuasa perlu memperinci jika ada elemen lain yang perlu dimasukkan dalam akta itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap dalam majlis pelancaran pelan tindakan Malaysia bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata terdapat keperluan menambah baik akta berkaitan keselamatan negara untuk menjamin keselamatan daripada unsur dan pengaruh luar.

Anwar berkata, bagi tujuan itu beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan polis, tentera dan pihak penguat kuasa lain jika ada elemen yang perlu dimasukkan dalam akta berkenaan.

“Kita mahu negara ini lebih matang sebagai satu demokrasi. Satu hal yang tidak boleh kita terima adalah mengizinkan negara menjadi medan dan gelanggang bagi puak yang melampau,” katanya berucap dalam majlis pelancaran pelan tindakan Malaysia bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan.

Bagaimanapun, Anwar tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai akta itu.

Sementara itu, Anwar berkata negara sentiasa menjalinkan hubungan antarabangsa dengan semua pihak.

Katanya, Malaysia akan cuba mengelak daripada terlibat dalam mana-mana perseteruan melibatkan senjata.

“Sebagai negara kecil membangun…menjalin hubungan antarabangsa dengan semua. Tetapi tidak melepaskan kita daripada tanggungjawab menyokong apa yang kita anggap sebagai hak dan menolak kebatilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.